Pages

Wednesday, 26 January 2011

Nabi Yunus as- kisah pemuda

Assalamualaikum wbt. Hari ini rasa macam kena tampar. Kena tampar lepas sekian lama tak sedar diri akan hakikat hidup seorang manusia di dunia sementara.

Tengah seronok-seronok makan malam (dalam 7.30malam), tiba-tiba mata menyorot pada kaca tv. Elok pula masanya, TV Al-Hijrah menyiarkan sebuah dokumentari 3D kisah Nabi Yunus as. Oh, terus terpaku di tempat duduk. 'Menarik ni', kata hati saya yang selalu teruja mendengar kisah-kisah nabi.

Tapi, ini bukan kisah untuk sekadar menambah pengetahuan am. Dokumentari dalam bahasa Arab ini sarat dengan teguran dan pengajaran. Ia peringatan bagi yang lalai. Peringatan dari Allah yang tiba bagi aku yang lalai.

Ini kisah seorang pemuda pilihan Allah. Pemuda. Kisah Nabi Yunus adalah kisah motivasi untuk mereka, terutama pemuda, yang belum berani melakukan perubahan yang haq.
Kisah seorang pemuda yang mahu lari dari kegelapan dan kezaliman di kampung halamannya.
Kisah seorang pemuda yang takut dengan cabaran yang akan melandanya.
...juga takut dengan tanggungjawab yang Allah berikan padanya.

Dia cuba mencari sinar baru di tanah seberang. Kata orang, sentiasa ada harapan baru di tanah di hujung laut. Lantas, dia menumpang sebuah kapal penuh muatan.

Amalan khurafat yang berleluasa menyebabkan Nabi Yunus teraniaya dan dizalimi. Seluruh isi kapal percaya bahawa tuhan laut dan tuhan angin sedang murka. Maka, korban perlu dipersembahkan. Lantas, undian dilaksanakan. Allah mentakdirkan Nabi Yunus menjadi pilihan; pemuda itu dicampakkan ke dalam geloran lautan.

Sekali lagi, dia ditelan kegelapan. Ironi. Pemuda itu mahu lari dari kegelapan yang menghantui kampung halamannya. Tetapi, atas kuasa Allah, dia kembali ditelan kegelapan. Berseorangan. Tiada jalan lagi untuk lari. Dia bermuhasabah, di dalam perut ikan nun.

Di situ dia sedar; cabaran yang sama mengejarnya saat dia cuba melarikan diri. Cabaran yang sama berulang apabila dia gagal mengharungi gelora yang pertama. Seolah-olah gagal peperiksaan, dan perlu mengharungi peperiksaan ulangan. Allah mendidik hamba-Nya untuk muhasabah dan memperbaiki diri supaya semuanya lulus dalam ujian.

Dan Nabi yunus tahu akan tanggungjawab yang harus dipikulnya. Dia adalah agen perubahan. Dia bertanggungjawab membawa umatnya keluar dari kebatilan ke arah kebenaran hakiki.
Dia perlu bergerak menanamkan kesedaran kepada umatnya.
Dia perlu bergerak melawan kezaliman yang bermaharaja.
Dia perlu bergerak memberikan harapan dan sinar baru pada rakyat buminya yang meringkuk di zaman kegelapan.

Dia perlu teguh pada pendirian; kepercayaan berasaskan akidah yang sejahtera.

dan Allah menceritakan pada kita mengenai Nabi Ibrahim as. Pemuda yang begitu berani menentang kepercayaan karut masyarakat di sekelilingnya. Pemuda yang bijak, tidak tunduk pada khurafat dan perkara syirik yang diamalkan orang-orang yang lebih tua darinya.
Pemuda yang mencari kebenaran.
Pemuda yang faham akan kehebatan Tuhan yang sebenar.
Dia ikhlas dalam ibadahnya, dan cinta-Nya luhur kepada Pemilik Nyawanya.
Nabi Ibrahim adalah agen perubahan untuk masyarakatnya.

...
mungkin sudah sampai masanya, orang muda, kita cari kebenaran tentang hakikat kehidupan. Muda bukan masa untuk melepaskan diri dari tanggungjawab. Ia adalah zaman kegemilangan; kerana itu al-Quran menceritakan kehebatan orang-orang muda.
sayang sekali kalau masa muda anda terbuang mengejar keseronokan yang fana.
Masa muda adalah masa untuk bergerak!

Ayuh! Kita jadi agen perubahan!

2 komentar:

Anonymous said...

Salam Athirah Basirah!
Mana updates?!!!

Athirah Dahman said...

Waalaikumusalam, Anonymous :)

Sebetul-betulnya, saya terlupa yang saya ada 'blog' ini. Terima kasih sebab meng'komen'; barulah saya teringat pada blog yang dah bersawang-sawang ni.

Post a Comment