Pages

Sunday, 7 June 2009

Al-Hasyr

Semalam adalah satu perkongsian ruhani yang sangat panjang (7pm hingga 1am), tapi tidak mencukupi (tidak melegakan dahaga kami, (Masyitah 2009)). Dari satu topik ke topik yang lain, isunya menular :)

Usrah dimulakan dengan tadabbur surah Al-Hasyr. 24 ayat yang begitu mendalam maknanya.

Ayat 1: "Apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi bertasbih kepada Allah..."

Pernah tak bila hati gundah, atau jiwa resah, kita keluar dari rumah dan duduk menikmati bunyi-bunyi alam? Bunyi ombak, bunyi angin yang menderu, bunyi rintik hujan... semuanya menjadi halwa telinga yang menenangkan. Menenangkan. Bunyi-bunyi alam itu sebenarnya satu orkestra tasbih yang tak henti-henti dari daun pokok, awan di langit mahupun batu yang tersembunyi di balik rumput. Sesuai untuk menjadi santapan otak yang penat.

Pernah ke masjid di mana penghuninya sentiasa melantunkan alunan tasbih berpanjangan? Katakanlah pula, hari yang dilawati itu, ada majlis tahlil. Sanggup tak kalian melakukan maksiat di dalam masjid? Aurat pun kalian begitu berhati-hati menjaganya.

Bagaimana pula kalau kalian cuma dikelilingi alam? Walhal, alam ini tidak henti-henti berzikir, tak henti-henti bertasbih. Atau, adakah kalian cuma tidak melakukan maksiat kerana takut dilihat manusia?

Dalam surah Al-Hasyr, ayat 13: Sesungguhnya dalam hati mereka, kamu (muslimin) lebih ditakuti daripada Allah.

Siapakah 'mereka' yang dimaksudkan dalam ayat 13 ini? 'Mereka' merujuk kepada orang-orang munafik. Takut pada manusia lebih daripada takutkan Allah, adalah ciri-ciri orang munafik. Sebabnya, mereka cuma tidak melakukan sesuatu kesalahan apabila ada orang lain di sekeliling. Walhal, yang menjadi penentu terakhir nasib di Akhirat nanti adalah Allah SWT.

Al-Hasyr, ayat 18: Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Mahateliti terhadap apa yang kamu kerjakan.

Takwa itu merujuk kepada perasaan takut dan mengharap. Jadi, kalau benar-benar mahu beriman, bertakwalah hanya kepada Allah.

Surah ini juga menyarankan umat Islam bersatu dan jangan gentar terhadap musuh. Kadang-kadang kita lihat golongan yang menentang Islam amat kuat kerana pergabungan mereka. Namun, Allah sudah berfirman, "...kamu kira mereka itu bersatu padahal hati mereka terpecah belah..." (al-Hasyr: 14).

Kuatnya umat Islam, kerana mereka bersatu. Lihat sahaja pada sejarah bangsa Arab yang sememangnya hidup berpuak-puak sebelum Islam. Sentiasa bertelagah dan menjatuhkan kabilah yang lain. Namun, apabila Islam datang, dalam kisah hijrah contohnya, Rasulullah SAW mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar. Kuatnya Islam itu kerana adanya ikatan yang kuat antara hati-hati orang mukmin, dengan izin Allah.

Musuh Islam sangat takut pada kekuatan persaudaraan orang Mukmin. Dan kekuatan inilah yang mahu dilenyapkan mereka. Jalannya? Tanamkan hasad dengki dalam jiwa orang mukmin terhadap saudara mereka.

Bahayanya hasad dengki sudah diceritakan dalam al-Quran berulang kali. Pertama, dengki Iblis pada Adam yang mendapat kemuliaan sehinggakan Iblis berjaya menghasut Adam mendekati pohon terlarang. Kedua, dengki Qabil pada Habil sehinggakan Qabil mengambil tindakan drastik membunuh saudaranya. Ketiga, dengkinya saudara nabi Yusuf sehingga menjadi daya penggerak mereka membuang Yusuf ke dalam telaga.

Perasaan dengki ini, bak kata Mira, tak dapat dikawal bila munculnya. Tapi, boleh dikawal penularannya. Macam kanser, yang tak dapat dijangka kemunculannya, tapi ada penyembuh yang berkesan jika dapat dikenalpasti semenjak awal.

"Ya Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman terlebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau tanamkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, sungguh, Engkau Maha Penyantun, Maha Penyayang." (Al-Hasyr: 10)

1 komentar:

TRAVELLER said...

Ameen ya Rabbal 'alamin.

p/s: Mari stop 'penularan' penyakit hati dengan senantiasa tazkiyyah an-nafs...

Jzkk for the pengisian~

Post a Comment