Aku sudah 17 tahun, tapi masih gagal memahami erti di sebalik solat. Bagiku, solat adalah satu ritual keagamaan bagi orang yang mengaku dirinya orang Islam. Ada beberapa kalimat yang perlu dihafal dan dibaca setiap kali melakukan pergerakan dalam solat. Namun, tak pernah aku dapat memahami apa yang dibaca. Yang aku tahu, kalau mahu melakukan solat, wajib memakai telekung yang berwarna putih. Aurat perlu ditutup rapi semasa solat. Kalau tak ada kain sembahyang itu, orang perempuan tidak boleh solat. Maka, kalau ada solat berjemaah di sekolah, selalu sahaja aku berpura-pura terlupa membawa telekung sembahyang itu ke sekolah. Tapi, semenjak pihak sekolah menyediakan kain telekung, dengan malasnya aku menapak ke surau sekolah bila masuk waktu Zohor. Kadang-kadang, alasan 'datang bulan' digunakan dan aku dibenarkan duduk di dalam kelas. Kelakar. Masakan guru tidak perasan, aku 'bendera merah' selama 3 minggu setiap bulan.
Kalau di rumah, ayah cuma tahu melibaskan tali pinggang sambil menjerit, "Pergi sembahyang!" Ayah juga malas. Tapi, setelah dileteri oleh emak, barulah ayah bergegas mengambil wudhuk dan solat. 'Mungkin kerana geram kepada emak, ayah lempiaskan kemarahannya pada aku. Aku juga yang kena. Aku juga yang nampak salah dan berdosa.' Aku geram. Ayah tidak pernah menjelaskan makna solat. Pernah diminta penjelasan, namun yang diperolehi cuma herdikan dari ayah. 'Sembahyang sahajalah! Banyak tanya pula!" Emak saudara pula selalu bising-bising apabila aku melengah-lengahkan waktu solat. Sakit telinga dan bengkak hatiku apabila disindir-sindir oleh emak saudara itu. Sekejap lagi, pasti ceritaku melambat-lambatkan solat dicanang-canang pada sesiapa sahaja yang ditemui. Aku benci benar pada emak saudara itu. Kalau boleh, mahu sahaja diganyang orang tua itu. Biar dia sedar kata-katanya itu menyakitkan hati orang lain. 'Sembahyang pun tak gunalah', desis hatiku. Darah muda ini sentiasa menggelegak, marah pada mereka yang bergelar 'dewasa'.
'Solat mencegah perbuatan keji dan mungkar'. Selalu sahaja kata-kata itu ditayangkan di kaca televisyen setiap kali masuk waktu solat. Tapi, tidak pernah aku saksikan sejauh mana praktikalnya kata-kata itu. Emak saudara yang selalu menegur aku itu pun tidak penat-penat mengumpat hal keluargaku. Bukankah mengumpat diibaratkan seperti makan daging saudara sendiri? Bagaimana orang yang melakukan solat itu mampu makan daging mentah sebegitu setiap hari? Hampir sahaja aku muntah apabila membayangkan situasi itu. Kenapa solat tidak menjaga lidah emak saudaraku itu dari mengeji dan menceritakan perihal orang lain? Ada apa dalam solat?
Habis sahaja SPM, aku dihantar ayah ke sebuah pusat pengajian tinggi. Ditakdirkan, aku ditempatkan sebilik dengan seorang gadis bertudung labuh. Mulanya, aku gusar akan bagaimana gadis itu akan menerimaku. Banyak prasangka buruk yang bersarang dalam kepala ini. Sejak sekolah lagi aku dipulaukan gara-gara selalu melempiaskan soalan-soalan pelik kepada ustaz dan ustazah. Aku sudah biasa dilabel dengan gelaran 'budak jahat'. Gadis itu pastinya sama sahaja dengan budak-budak sekolahku dahulu; pasti menjauhkan diri, tidak mahu bergaul dengan 'budak jahat' sepertiku.
"Assalamualaikum."
Aku terkesima. Gadis itu tersenyum manis dan terlebih dahulu menghulurkan tangan kanan. Aku pula teragak-agak menyambutnya. Saat tangan kami bertaut, gadis itu menarikku dekat dan pipi kami bersentuhan. Badanku jadi kaku. Segala prasangka buruk pada gadis itu hilang serta-merta. Bongkah-bongkah amarahku cair perlahan-lahan.
"Wa... waalaikum...salam," aku tergagap-gagap membalas ucapan salam. Ucapan selamat daripada seorang gadis dari Kuala Lumpur, kota metropolitan. Yang dapat aku katakan adalah, dia gadis kota yang dihiasi dengan satu aura kedamaian.
Sudah dua minggu aku tinggal bersama Iman. Yang aku tahu, hampir saban malam teman sebilikku itu bangun pada pukul 4 pagi dan mendirikan solat. Hairan. Solat apa awal pagi begini?
"Baru sembahyang Isyak ke?" akhirnya soalan itu berjaya dilontarkan pada Iman usai solat yang dilaksanakan. Dalam kesamaran lampu meja, aku masih dapat melihat gadis itu cepat-cepat menyapu telekung putihnya ke muka sebelum berpaling kepadaku. Masih ada sisa air mata pada wajah gadis itu.
"Tidak. Alhamdulillah dah solat Isyak sebelum tidur tadi."
"Habis tu? Solat apa?" aku menggaru-garu kepalanya. Tiba-tiba sahaja gatal.
"Solat sunat." Pendek jawapan gadis itu. Jujur. Tidak ada nada sinis dalam kata-katanya. Tidak ada sindiran sebagaimana yang dilakukan oleh emak saudaraku. Melihat Iman seakan-akan mahu meneruskan solatnya, berat hatiku untuk meneruskan perbualan. Spontan aku mengangkat tangan padanya dan kembali merebahkan badan ke atas katil. Namun, mataku tidak mahu lelap. Pukul 5.30 pagi, aku pasrah dengan kedegilan mata ini. Iman pula masih di atas sejadah. Satu keinginan timbul tiba-tiba dalam hati dan rasional akal menyuruhku segera bergegas menuju ke bilik air. Air dingin yang menyentuh kulit terasa begitu menyegarkan. Pantas aku membersihkan diri.
*************
"Aku iqamat?" ujarku sambil menyentuh bahunya dari belakang. Temanku itu berpaling. Dia mengangguk. Wajahnya ceria melihatku.Setiap kali bahunya menyentuh bahuku, setiap kali itulah aku merasakan suatu perasaan aneh menyelinap ke dalam tubuhku. Rasa kebersamaan. Walaupun aku belum memahami setiap butir kalimat dalam solatku, aku merasa tenang. Seluruh tubuhku merasa ringan, dadaku lapang dan nadiku tenang. Satu ketenangan yang tidak pernah aku rasakan selama ini. Di penghujungnya, bersungguh-sungguh Iman berdoa. Ada esakan kecil yang cuba dilindunginya.
Usai solat, Iman memelukku. Aku yang tidak biasa dipeluk begitu pada mulanya ingin meleraikan pelukan itu dengan kadar segera. Namun, entah kenapa, hatiku memintaku bersabar sedikit. Perlahan-lahan aku membalas pelukannya. Tiba-tiba perasaanku hiba; teringat ayah, teringat emak di kampung. Tidak pernah pula aku solat berjemaah bersama-sama mereka. Mataku berkaca. Aku terharu pada penerimaan Iman terhadap diriku. Aku rasa disayangi. Benar-benar disayangi oleh teman baruku itu.
Nota: ini adalah percubaan menulis sebuah cerpen :)
0 komentar:
Post a Comment